Assalam.
Pagi tadi lepas subuh, syeikh terus ajak kami untuk berekpedisi. Sewaktu hendak bersiap, syeikh dah siap terlebih dahulu dan dia terus masuk ke dalam Alphard di tempat duduk driver. Malunya bila pemimpin yang menunggu kita, sepatutnya anak buah lah yang menunggu pemimpin, barulah dapat berkat! Sama juga apabila seseorang murid itu terlebih dahulu sampai daripada gurunya tiba, maka ilmu yang diterima oleh murid tersebut akan diberkati.
Dalam perjalanan, syeikh menyuruh salah seorang daripada kami berempat untuk membuka laman web blogspot Suara Haramain yang terkini. Seorang remaja yang memiliki BB berbuat demikian dan membaca 'post' terkini yang bertajuk 'Pemimpin Ialah Yang Memegang dan Memimpin Hati-hati Manusia'. Link boleh didapati di bawah.
Setelah selesai dibaca, kami disuruh untuk mengulas. Kalau dah disuruh mengulas ni, biasanya ramai dalam kalangan kita yang cuba nak mengelak. Kalau boleh dalam program, nak tempat duduk yang paling belakang. Macam mana nak dapat berkat kalau begini! Sedangkan makanan roh itu ialah keberkatan, tanpa keberkatan, roh akan kelaparan dan tidak akan aktif.
Syeikh pun cakap siapa tak nak ulas tu boleh, tak mengapa. Tapi dia kena isi minyak Alphard. Nak isi sampai penuh tu kos dalam RM111 sahaja. Nak tak nak, kenalah ulas jugak. Daripada yang segan-silu dan tersipu-sipu, terus berubah. Begitulah bijaknya cara seorang pemimpin itu mendidik anak buahnya.
Abuya kata, orang yang dikatakan pemimpin itu ialah orang yang boleh memimpin manusia. Yang dimaksudkan memimpin manusia itu bukanlah setakat pimpinan daripada sudut lahirnya seperti kebajikan, ekonomi dan lain-lain tetapi seorang pemimpin itu boleh memimpin dan memegang hati manusia itu. Perdana Menteri dan Agong itu bukan pemimpin, mereka hanyalah sekadar pentadbir ataupun pengurus benda ataupun perkara lahiriah yang berbentuk duniawi.
Jika seseorang itu benar-benar seorang pemimpin, maka tidak kira dia ada kuasa atau tidak, ada jawatan atau tidak, orang tetap akan sanggup dan rela untuk mentaati serta mengikutnya kerana hati-hati mereka telah pun dipegang dan dipimpin. Jika seseorang yang berjawatan itu tidak memimpin hati-hati manusia tersebut , maka setelah kehilangan jawatan dan kuasa, orang akan lari daripadanya.
Sebab itulah sifat seorang pemimpin dan hamba itu tidak boleh dipisahkan. Jika terpisah, maka akan lahirlah orang-orang zalim yang mentadbir manusia kerana tidak memiliki rasa kehambaan. Seseorang yang benar-benar dikatakan pemimpin itu tidak dapat dielakkan sifat kehambaan yang terdapat di dalam dirinya.
Demikianlah sebenarnya kita sangat memerlukan pimpinan seorang pemimpin iaitu Abuya supaya hati-hati kita ni dapat dibentuk dan diproses untuk dihubungkan dengan nabi akhir zaman yang telah sekian lama dipisahkan daripada hati kita.
No comments:
Post a Comment